Tuesday, 3 November 2015

TAHUN 6 PUNYA UCAPAN

Assalamualaikum warohmatullahiwabarokatuh.

      Yang beruasaha Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, SK Seri Pasir, En Abu Bakar Bin Sarip, Yang saya hormati Penolong Kanan 1, En Zakaria Bahari, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En Md Janis Bin Abd Rahman, Penolong Kanan Kokurikulum Cikgu Nasrun, guru-guru dan seterusnya, rakan-rakan sekalian.

Sidang hadirin yang dihormati,

     Tanpa kita sedari, masa berlalu dengan begitu pantas. Tempoh enam tahun dirasakan umpama semalam sahaja. Kini, kita sudah berada pada penghujung tahun terakhir di sekolah rendah, iaitu tahun enam. Maka, minggu ini merupakan minggu terakhir kita menuntut ilmu di SK……… yang hebat ini. Begitu berat rasanya untuk meninggalkan sekolah  yang tercinta ini.

Begitu hiba rasanya untuk kita berpisah dengan guru-guru yang amat dedikasi dan prihatin untuk mendidik serta mengasuh kita. Namun demikian, apalaah daya kita untuk menghalang waktu untuk terus berlalu, lantaran setiap pertemuan pastinya akan berakhir dengan perpisahan. Justeru itu, walaupun berat hati untuk berpisah, kenyataannya perpisahan itu pasti akan hadir.

Guru-guru yang dikasihi dan dihormati,
     Jasa dan bakti guru-guru terlalu besar buat kami semua. Tidak akan terbalas dengan wang ringgit dan harta benda untuk segala bakti yang kalian curahkan kepada kami. Pastinya akan kami kenang selama-lamanya selagi jantung dan nadi ini masih berdengup dan berdenyut. Pada kesempatan ini, saya mewakili rakan-rakan ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon kemaafan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki kepada guru-guru yang dikasihi. Hanya Allah sahaja yang  dapat membalas segala jasa dan bakti yang telah guru-guru abadikan kepada kami.

     Maka dengan ini sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang telah mendidik dan membimbing kami selama ini dan maafkanlah segala kesilapan dan kesalahan kami. Kepada rakan-rakan pula, selamat menempuh alam sekolah menengah yang tentu jauh bezanya dengan budaya di sekolah rendah.

Semoga kita akan terus membina kecemerlangan dan terus berbakti kepada ibu bapa kita serta masyarakat dan negara. Gunakanlah segala ilmu yang telah guru-guru kita curahkan untuk melayari alam remaja dan seterusnya dewasa dengan penuh ketabahan, keimanan dan ketakwaan.

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.



Sekian, terima kasih.